Seorang ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar bersama seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami tu pergi, kucing itu akan ikut bersama.
Namun keadaan ini menimbulkan sedikit masalah, terutamanya apabila ketua sami sedang menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasinya sering terganggu apabila kucingnya kesayangannya itu menggesel-gesel dan mengelus-ngelus di sisinya.
Setelah berfikir panjang mencari jalan penyelesaian, akhirnya ketua sami mendapar satu idea. Setiap kali dia melakukan penyembahan, dia mengikat kucing tersebut di sebatang tiang di tepi kuil.
Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama semasa upacara penyembahan. Perlakuan ketua sami itu diperhatikan oleh perngikut-pengikutnya.
Beberapa tahun berlalu, ketua sami meninggal dunia. Ketua sami yang baharu pula dilantik. Namun begitu, setiap kali ketua sami yang baharu hendak mengetuai upacara penyembahan, beliau akan mengikat kucing yang sama pada tiang yang sama juga.
Tidak berapa lama selepas itu, kucing itu pula mati. Ironisnya, ketua sami yang baru ini mencari kucing lain sebagai pengganti dan diikat juga pada tiang yang sama setiap kali upacara penyembahan berhala diadakan.
Begitulah rutin itu berlaku, tahun demi tahun. Kucing dan ketua sami datang dan pergi silih berganti. Akhirnya terciptalah satu ritual dalam agama tersebut, setiap kali ketua sami akan mengetuai penyembahan berhala, dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambat pada tiang kuil.
Pengajaran:
Sering berlaku dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan ritual dengan nilai spiritual telah terlindung oleh sikap taklid secara membuta-tuli. Penganut di belakang hari kerap menjadi "pak turut" tanpa mengerti sebab dan tujuan amalan tersebut. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap sebagai adat.
No comments:
Post a Comment